Monday, February 23, 2009

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah , walaupun wang berjaya diperolehi. Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum .
Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi. Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.
Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output daripadanya merunsingkan saya. Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur .. Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun.
Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem'poligami' kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Nauzubillah Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

No comments:

Post a Comment